2018 Toyota Rush dilancarkan di Malaysia – Enjin 1.5L, Sistem Pra-Perlanggaran, bermula RM93k

44304518_10156849920582318_7926790580640677888_n

UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini melancarkan 2 variasi Toyota Rush versi pemasangan tempatan (CKD) – 1.5G dan 1.5S dengan jangkaan harga bermula RM93,000 dan RM98,000.

Jentera tujuh tempat duduk ini dijangka bersaing segmen sama dengan Proton Ertiga dan juga Honda BR-V, hadir dengan rim aloi 17-inci dan tayar berprofil 215/60r17.

Dari segi saiz, dimensi model ini tidak jauh beza dengan kebanyakan pesaingnya, iaitu memiliki panjang 4,435mm, lebar 1,695mm, tinggi 1,705mm dan jarak roda 2,662mm. Sebagai perbandingan, ianya lebih panjang (+21mm), lebih lebar (+40mm) namun lebih rendah daripada jentera pesaingnya Honda BR-V.

Kemasan dalaman diperhalusi dengan lebih sporty dan kontemporari, dengan konfigurasi tempat duduk 2-3-2 yang mana tempat duduk tengah boleh dibuka pada kadar 60:40 manakala tempat duduk belakang pada kadar 50:50.

Sekiranya tempat duduk belakang dibuka, kapasiti ruang letak barang mampu menampung sebanyak 217 liter manakala 514 liter sekiranya ditutup. Hanya model 1.5S hadir dengan kemasan kulit pada tempat duduk.

Kedua-dua model ini didatangkan dengan sistem penyaman udara zon tunggal dengan salur udara belakang, unit 6.8-inci DVD-AVX dengan Sreen Mirror, Multi-Info Display, monitor panoramic dengan empat kamera, Toyota AutoTag built-in SmartTAG, empat ruang caj, sistem tanpa kunci (keyless), digital video recorder (DVR).

Dari segi keselamatan, ianya datang dengan pakej ‘Safe-T Plus’ meliputi enam (6) airbag, monitor blind-spot, amaran lintasan trafik, VSC dan Sistem Pra-Perlanggaran. Untuk model 1.5S juga dilengkapi sistem auto brek kecemasan, membolehkan model ini mendapat (5) lima bintang pada rating ASEAN NCAP.

Di bawah bonet, jentera ini dikuasakan dengan enjin 2NR-VE 1.5L (enjin sama yang dibekalkan pada Perodua MYVI generasi ketiga dan Toyota Advanza terkini), membolehkannya menghasilkan 105PS pada 6,000rpm dan 136Nm tork pada 4,200rpm, dibantu dengan kotak gear empat kelajuan ‘torque converter automatic’.

Lima pilihan warna ditawarkan – White, Silver Metallic, Dark Grey Metallic, Blue Metallic and Dark Green Metallic. Setiap pembelian juga didatangkan dengan jaminan waranti 5 tahun tanpa mileage.

Kredit Gambar : Funtasticko